Selamat Berkunjung ke......

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Wahai pembaca janganlah lengah
Maklumat terkini tidak terduga

Monday, 18 July 2011

SEJARAH AWAL PENUBUHAN SMK DATO' SRI AMAR DIRAJA, MUAR

Sejarah awal penubuhan SMK Dato’ Sri Amar Diraja bermula pada bulan Jun 1958. Pada waktu itu, 38 orang pelajar dari sekolah kebangsaan yang telah lulus Peperiksaan Masuk Sekolah Menengah dan sedang berada di Tingkatan Peralihan di Sekolah Tinggi Muar telah memilih untuk bertukar dari aliran Inggeris ke Tingkatan 1 bahasa pengantar Melayu. Kelas ini terus menumpang di Sekolah Tinggi Muar.
Pada tahun 1959, sekolah menengah aliran Melayu yang pertama ditubuhkan namun sekolah ini belum mempunyai bangunan sekolah sendiri dan hanya menumpang di bangunan Sekolah Tinggi Muar (dahulu dikenali sebagai Muar English School). Akan tetapi, pelajar perempuannya di tempatkan di Sultan Abu Bakar Girl’s School (kini: SMK (P) Sultan Abu Bakar).
Pada tahun 1961, sekolah mendapat sebuah bangunan sementara tidak jauh dari Sekolah Tinggi (dipinjamkan oleh Sekolah Tinggi Muar). Pentadbiran sekolah dipisahkan dari Sekolah Tinggi. Sekolah ini dinamakan Sekolah Menengah Baharu Muar dan bermula pada 22 Januari 1961. Guru besar pertama sekolah ini ialah En Yusof bin Junid. Sekolah ini mempunyai 16 bilik darjah. Lapan bilik dikhaskan untuk pelajar yang menggunakan Bahasa Melayu dan bakinya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Akan tetapi, pelajar perempuan masih berada di Sekolah Sultan Abu Bakar, kecuali pelajar yang berada di dalam Tingkatan 4 dan 5.
Pada bulan Januari 1962, 10 orang pelajar perempuan aliran Melayu telah lulus Peperiksaan SRP 1961 dari SM(P) Sultan Abu Bakar telah ditempatkan di Tingkatan Empat Sekolah Menengah Baharu. Pada tahun 1963 – 964, bangunan sekolah Dato’ Sri Amar Diraja dibina.
Pada tahun 1964, apabila bangunan siap dibina, semua pelajar dari Sekolah Menengah Baharu dan yang menumpang di Sekolah Sultan Abu Bakar berpindah ke bangunan baru yang terletak di Jalan Tunku Bendahara dengan keluasan 4.5 ekar. Pelajar lelaki (Tingkatan 1 – 5) aliran Melayu dari Sekolah Menengah Baharu dan pelajar perempuan aliran Melayu SM(P)Sultan Abu Bakar dipindahkan sementara Sekolah Menengah Baharu ditutup. Pelajar aliran Inggeris di Sekolah Menengah Baharu ditempatkan di Sekolah Tinggi Muar.
Sekolah ini dinamakan SEKOLAH DATO’ SRI AMAR DIRAJA sempena nama tokoh Johor yang bernama Dato’ Sri Amar Di Raja Abdul Rahman Andak dengan nama singkatannya SDAD. Guru besar pertama SDAD ialah En. Jismi bin Mohd Salleh. Terdapat hanya 961 orang pelajar dengan 27 orang guru. Moto sekolah ialah Pendidikan Untuk Masyarakat. Lagu sekolah dicipta oleh Allahyarham Saiful Bahari. Sekolah Dato’ Sri Amar Diraja merupakan sekolah bercampur (coeducational school) yang pertama di Muar dan sekolah menengah Melayu yang kedua di negeri Johor.
Pada 26 Julai 1965, Sekolah Dato’ Sri Amar DiRaja dirasmikan oleh Yang Berhormat En Khir bin Johari, Menteri Pelajaran Malaysia. Pada tahun 1967, Tingkatan Enam ditubuhkan, SDAD menjadi sekolah menengah Melayu pertama di Johor yang menawarkan Tingkatan 6 dengan pembukaan dua buah kelas aliran sastera. Pelajar Tingkatan 6 datang dari seluruh negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Guru-guru dari luar negara juga dipanggil berkhidmat di sekolah ini antaranya En Gardjito dari Indonesia, Mr Bruno dari Australia dan guru-guru dari Itali.

1 comment:

  1. salam dari saya kepada cikgu (sejarah) dan pengiat sejarah am nya Gambar potrait ini sebenarnya SULTAN ABUBAKAR IBNI SULTAN AHMAT RIAYATSHAH (dikata mati diracun semasa kecil) ibni SULTAN SULAIMAN BADRUL RIAYATSHAH ..tolong di beri pencerahan ..saya siap membantu asal ussul sejarah beta..waris keenam dabaginda sultan sulaiman badrul al alamshah...

    ReplyDelete